Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kenderaan Autonomi : Fiksyen Menjadi Nyata


kenderaan autonomi

Beberapa abad yang lepas, manusia mengimpikan satu masa dimana teknologi telah berkembang pesat dan kita semua akan hidup bagai raja dengan semua kemahuan dan keperluan kita akan dipenuhi oleh mesin-mesin pintar. Antara mesin-mesin pintar itu termasuklah kenderaan berautonomi ataupun lebih popular dikenali sebagai kenderaan pandu sendiri.

Konsep ini telah mula dieksperimentasi sejak tahun 1920-an, dimana ujian pertama dijalankan pada 1950-an dan kenderaan berautonomi sejati mula muncul menjelang tahun 1980-an. Tetapi konsep kenderaan berautonomi mula menjadi tumpuan masyarakat umum pada tahun 2013 apabila syarikat dan konglomerat gergasi dunia seperti Google, Mercedes-Benz, Nissan, Toyota dan Audi antaranya berjaya membangunkan prototaip kenderaan berautonomi yang dilihat mampu untuk dipasarkan.

Hal ini juga terhasil daripada sokongan kerajaan pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Sepanyol yang meluluskan akta dan undang-undang membenarkan kenderaan berautonomi diuji dan digunakan di jalanraya.

Walaubagaimanapun tidak semua kenderaan berautonomi ini sama kerana buat masa ini terdapat 6 tahap autonomi yang berbeza, setiap satunya memiliki kriteria yang berbeza dan lebih canggih dan rumit berbanding tahap yang sebelumnya. 6 tahap autonomi ini diperincikan dan didefinasikan oleh SAE International (Society of Automotive Engineers).

Tahap 0 : Tiada Autonomi

Autonomi tahap 0 merupakan tahap di mana semua kenderaan yang sedia ada berada di dalam skala autonomi. Pemandu manusia mengawal semua aspek pemanduan seperti halaju, arah dan isyarat menukar haluan dan mengambil keputusan apabila ingin bergerak masuk atau keluar daripada laluan, kenderaan tahap ini juga ada yang dilengkapi dengan beberapa sistem yang membantu pemandu seperti sistem amaran objek ketika mengundur, sistem brek kecemasan automatik dan pelbagai sistem-sistem lain tetapi ia tidak memadai untuk dikelaskan sebagai ciri-ciri autonomi sebenar.

Tahap 1 : Sistem Bantuan Pemandu (Driver Assistance)

Kenderaan berautonomi tahap 1 mempunyai keupayaan untuk mengendali stereng atau pendikit dengan brek tetapi tidak kedua-duanya pada masa yang sama dan hanya dalam mod pemanduan yang tertentu sahaja dan bukannya sepanjang masa. Oleh itu, pemandu harus bersedia untuk mengambil alih kawalan kenderaan jika diperlukan dan masih menjadi tanggungjawab pemandu dalam memastikan keselamatan di jalan raya.

Kenderaan di tahap ini juga dilengkapi dengan beberapa sistem yang mengumpul dan menggunakan maklumat mengenai keadaan pemanduan dan keadaan sekeliling namun perlu ditegaskan masih menjadi tugas seorang pemandu yang berhemah untuk mengawasi keadaan sekeliling ketika memandu. Ciri-ciri autonomi tahap 1 ini telah berada di pasaran untuk sekian lama dan contoh-contoh ciri-ciri tersebut termasuklah keupayaan untuk meletak kereta sendiri dan bantuan mengkalkan lorong (lane assist).

Tahap 2 : Bantuan Separa (Partial Assistance)

Pada tahap autonomi ke 2, kendaraan mampu untuk mengawal pendikit, brek dan stereng dalam sesetengah mod pemanduan. Pemandu pula harus berjaga-jaga pada setiap masa, mengawasi keadaan sekeliling, trafik dan juga keadaan jalan dan bersedia untuk mengambil alih kawalan daripada sistem autonomi jika sesuatu berlaku.

Salah satu contoh terbaik dan juga terkenal merupakan sistem autonomi Tesla Autopilot. Tesla merupakan syarikat milik usahawan terkenal, Elon Musk yang mengeluarkan kenderaan elektrik seperti Tesla Model S dan Model X. Sistem Autopilot Tesla merupakan satu kumpulan sistem autonomi, antaranya Traffic Aware Cruise Control dan Autosteer dengan kebolehan menukar lorong, yang memberikan keupayaan kawalan stereng automatik dengan batasan halaju.

Tahap 3 : Bantuan Bersyarat (Conditional Assistance)\

Dengan sistem autonomi tahap 3, kenderaan tersebut mampu mengawasi keadaan jalan dan keadaan sekeliling, menukar lorong serta mengawal stereng,pendikit dan brek dalam keadaan tertentu seperti di lebuh raya. Seperti sebelum ini, pemandu haruslah bersedia untuk mengambil kawalan daripada sistem autonomi jika keadaan memerlukan.

Sebagai contoh, kereta Audi A8 yang baru merupakan kereta keluaran besar-besaran yang pertama dilengkapi dengan sistem autonomi tahap 3. Dengan hanya menekan satu butang, sistem AI Traffic Jam Pilot akan mengambil alih kawaln stereng, brek dan pendikit dalam keadaan trafik yang bergerak perlahan sehingga kelajuan 60 km/jam, di jalanutama diaman terdapat penghadang jalan yang memisahkan kedua-dua belah jalan. Apabila sistem autonomi mencapai had yang telah diprogramkan, pemandu akan dimaklumkan agar mengambil alih kawalan kereta tersebut.

Oleh kerana terdapat kekangan dari segi undang-undang berkenaan pemanduan autonomi, Audi telah memaklumkan bahawa mereka akan menggunakan pendekatan pelaksanaan secara berperingkat dalam memperkenalkan sistem AI Traffic Jam Pilot ini kepada model-model kenderaannya yang lain.

 

Tahap 4 : Automasi Tinggi (High Automation)

Kenderaan autonomi tahap 4 mampu memandu sendiri tanpa ada pemandu di dalam kenderaan tersebut. Sistem autonomi kenderaan akan mengawal semuanya daripada menghidupkan enjin, mengawal stereng, pendikit dan brek selain daripada memantau keadaan pemanduan dan keadaan sekeliling serta mampu meletak kenderaan di tempat parkir yang betul.

Apabila keadaan pemanduannya sesuai, pemandu boleh mengaktifkan sistem autonomi dan boleh berehat sambil menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan. Sistem autonomi akan bergantung kepada pelbagai sensor yang dipasang di sekeliling kenderaan untuk mengesan keadaan sekeliling manakala komputer yang di pasang didalam kenderaan tersebut akan menganalisa semua data yang dikumpul dan merangka jalan yang terbaik untuk setiap situasi yang mungkin dihadapi.

Jika sistem autonomi menghadapi sesuatu yang tidak boleh dikesan atau ditangani dengan kebolehan yang sedia ada, barulah sistem autonomi akan meminta bantuan pemandu. Walau bagaimanapun, jika pemandu tidak campur tangan sekalipun dan sesuatu yang tidak diingini berlaku, kenderaan tersebut akan terus memandu secara autonomi.

Oleh itu kenderaan yang dilengkapi dengan sistem autonomi tahap 4 boleh dikelaskan sebagai kenderaan yang memandu sendiri. Contoh kenderaan ini termasuklah kenderaan yang dibangunkan oleh Google/Waymo dan kenderaan konsep Renault yang terbaru iaitu SYMBIOZ.

 

Tahap 5 : Automasi Penuh (Full Automation)

Pada tahap ini, kenderaan tersebut tidak lagi memerlukan bantuan mahupun kawalan daripada manusia lansung dan mampu beroperasi tanpa kehadiran pemandu manusia. Bahkan, kenderaan dengan sistem autonomi tahap 5 tidak akan ada pedal pendikit, brek mahupun roda stereng kerana semua itu tidak diperlukan lagi. Kenderaan tersebut akan dikawal sepenuhnya secara automatik dan akan mempunyai kebolehan untuk memandu dalam semua jenis keadaan, menjalankan semua tugas-tugas yang boleh dilakukan oleh pemandu manusia dan semua ini tanpa campur tangan atau bantuan daripada pemandu manusia.

Buat masa sekarang, hanya ada beberapa buah kenderaan konsep yang mempunyai sistem autonomi tahap 5 dan antaranya termasuklah SeDric yang dibangunkan oleh konglomerat Volkswagen dan kenderaan konsep AIcon oleh Audi.

Dengan kemajuan dan pembangunan yang ada sekarang, kita boleh mengharapkan model kenderaan autonomi untuk pasaran umum akan boleh didapati dalam linkungan masa sedekad dari sekarang. Walau bagaimapun, pihak berkuasa haruslah memainkan peranan dalam merangka undang-undang dan akta baru yang merangkumi kenderaan autonomi kerana hal ini merupakan satu cabaran terbesar yang menghalang teknologi kenderaan memandu sendiri digunakan secara lebih meluas.


Like it? Share with your friends!

Your reaction?
Angry Angry
0
Angry
Cute Cute
0
Cute
Fail Fail
0
Fail
Geeky Geeky
1
Geeky
Lol Lol
0
Lol
Love Love
0
Love
OMG OMG
0
OMG
Win Win
0
Win
WTF WTF
0
WTF

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

log in

Become a part of our community!

reset password

Back to
log in